Wednesday 25 August 2010

KERAJAAN DAN PERANANYA

Menurut Appadorai, kerajaan berperanan sebagai sebuah agensi atau alat untuk merumus, melaksanakan dan menyatakan cita-cita negara. Umumnya, kerajaan juga dinyatakan sebagai sebahgian daripada negara, iaitu mekanisme yang melaksanakan kekuasaan dan sesuatu dasar bagi pihak negara.



Peranan utama kerajaan ialah cuba meninggikan taraf hidup rakyat. Kerajaan juga bertanggungjawab memperbaiki atau membetulkan jurang perbezaan ekonomi di kalangan pelbagai lapisan masyarakat. Ini termasuklah dari segi sosial, politik dan ekonomi. Kerajaan menjalankan pelbagai usaha untuk memajukan negara di dalam sektor pertanian, perindustrian, perdagangan dan pelancongan. Kerajaan juga turut menyediakan sistem pendidikan, perhubungan, pengangkutan dan menyediakan pekerjaan kepada rakyatnya.

Kerajaan juga bertanggungjawab membuat dan melaksanakan undang-undang. Dengan adanya undang-undang dapatlah kerajaan mengawal dan menjaga aktiviti rakyat supaya tidak melanggar undang-undang. Jika tiada undang-undang di sesebuah negara, rakyatnya akan bebas melakukan apa sahaja, ini bermakna jenayah akan berlaku dengan sewenang-wenangnya.

Kerajaan juga akan berusaha untuk memupuk semangat kerjasama di kalangan masayarakat yang berbilang kaum, agama dan kepentingan. Sudah menjadi tugas kerajaan untuk mewujudkan persefahaman di kalangan rakyat, ia penting kerana tanpa rakyat kerajaan tidak akan wujud.

Peranan kerajaan seterusnya adalah untuk memastikan negara berada dalam keadaan aman dan damai, seperti keselamatan nyawa dan harta benda rakyat. Oleh itu, untuk menjaga keselamatan ini kerajaan akan menyediakan pasukan keselamatan dan kelengkapan pertahanan dan peperangan. Kerajaan mestilah sentiasa bersedia untuk menghadapi serangan dari luar serta menghadapi ancaman daripada anasir antinasional (dalam negeri) yang ingin memusnahkan keselamatan dan kedaulatan negara dan untuk tujuan ini pelbagai peraturan dan akta keselamatan dalam negeri diperkenalkan dan dikuatkuasakan.Walau bagaimanapun, semua negara mengakui perlunya diadakan kerajaan yang kuat dan berwibawa untuk menyediakan pertahanan supaya tidak diancam oleh musuh di dalam dan di luar negara.

Kerajaan juga bertanggungjawab memperbaiki semula keadaan negara setelah mengalami bencana alam atau peperangan. Kerajaan memainkan peranan penting di dalam perkembangan, pembangunan dan demi keselamatan negara dan rakyat.

Terdapat tiga institusi kerajaan yang utama, iaitu institusi perundangan yang bertanggungjawab terhadap membuat dan mengubah undang-undang, institusi eksekutif yang bertanggungjawab menguatkuasakan sesuatu undang-undang yang telah dibuat oleh institusi perundangan, dan institusi kehakiman yang bertanggungjawab menterjemahkan undang-undang, menyelesaikan perselisihan dan mengenakan hukuman-hukuman dalam kes-kes yang belum terdapat di dalam undang-undang.

1 comments:

Unknown said...

terbaik info...

Post a Comment